Ramai pesakit-pesakit yang alami gangguan jin seperti sihir saka dan sebagainya merasa pelik, tertanya-tanya kenapa mereka mengalami gangguan jin. Ada sesetengah pesakit langsung tidak percaya pada perkara-perkara berkaitan gangguan jin, ada juga yang menafikan mereka diganggu jin kerana di zaman moden ini tiada lagi masalah berkaitan gangguan.
Sebagai manusia kita wajib percaya perkara ghaib iaitu jin. Cuma jangan terlalu taksub, cukup sekadar percaya jangan sampai terlalu suka dan mencari.
Saya nak kongsikan hari ini apakah itu gangguan dan dari mana ia datang.
1) Gangguan keturunan iaitu SAKA, ramai pesakit-pesakit saya tekejut bila tahu mereka memiliki saka.. masalah yang mereka alami selama ini berpunca dari gangguan saka.
” saya tak ada amal apa-apa pun ustaz”
” saya tak percaya tu karut.. mana ada saka-saka ni, saya semayang ustaz”
” apa la.. orang tua dulu-dulu ni menyusahkan anak cucu je, tak ada masalah cari masalah la pulak..”
Ustaz selalu terima respon begini semasa rawat pesakit. Pada hakikatnya gangguan saka ini wujud, dalam Al-Quran ada firman Allah tentang manusia memohon pertolongan jin. Amalan menggunakan pertolongan jin, telah dimulakan berkurun dahulu dari zaman tok nenek moyang dahulu. Jadi ustaz harap tak perlulah kita nak kusutkan fikiran dengan mencari punca dan dari siapa saka ini. Yang penting kita fokus pada rawat dan tingkatkan perlindungan diri dengan zikir amalan, jika ada alatan pemujaan berkaitan saka, mahupun amalan yang ditinggalkan.. berhenti dari amalkan buang segala yang ada kaitan dengan saka.
Kita juga boleh dapat jin saka dari bomoh atau perawat yang merawat menggunakan bantuan jin. Contoh melalui air jampi yang diberi, minyak yang ada jampi mentera, mandi bunga yang ada mentera (mandi bunga tak salah selagi tiada penggunaan jin), melalui urutan dari tukang urut yang ada amalan.
2) Gangguan sihir iaitu jin-jin yang diutuskan untuk sesuatu hajat tertentu. Ada juga sihir yang kita dapat semasa rawatan dengan bomoh contohnya ketika sesi bedah batin.
3) Gangguan jin dari amalan sama ada sengaja atau tak sengaja, contohnya memakai cincin yang dijampi, tangkal, beli barang antik yang digunakan untuk memuja, kain hitam/putih sebagai syarat dalam persilatan, ayat-ayat pelaris, barang kemas tinggalan nenek moyang. Semua ini boleh menyebabkan kita diganggu dan boleh merosakkan kehidupan.
4) Ada juga gangguan yang datang kerana jin marah pada kita kerana menyakitinya contoh kita tuang air panas pada tempat rehatnya. Antara tempat rehat dan tempat tinggal jin adalah dalam lubang-lubang kecil seperti singki, dalam tandas.
Takutlah kita pada Allah, azab neraka itu benar. Jangan kerana kita mahu sembuh kita langgar batasan agama.
Dalam al-Quran Allah berfirman:
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌ۬ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ۬ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقً۬ا
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat” [al-Jin: 6].
وَيَوۡمَ يَحۡشُرُهُمۡ جَمِيعً۬ا يَـٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ قَدِ ٱسۡتَكۡثَرۡتُم مِّنَ ٱلۡإِنسِۖ وَقَالَ أَوۡلِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلۡإِنسِ رَبَّنَا ٱسۡتَمۡتَعَ بَعۡضُنَا بِبَعۡضٍ۬ وَبَلَغۡنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلۡتَ لَنَاۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثۡوَٮٰكُمۡ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُۗ
“Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: Wahai Tuhan kami, sebahagian dari kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami. (Allah berfirman): Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah” [al-An’am: 128].
Manakala ada juga pihak yang berdalilkan ta’amul Nabi Sulayman AS dengan jin, maka kita katakan: Ta’amul baginda AS dengan mereka tidak melampaui syariat yang diturunkan kepada baginda, apatah lagi ianya merupakan khususiyyah (kurniaan khas) kepada baginda berdasarkan doa baginda yang difirmankan Allah:
قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِى وَهَبۡ لِى مُلۡكً۬ا لَّا يَنۢبَغِى لِأَحَدٍ۬ مِّنۢ بَعۡدِىٓۖ
“Katanya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku” [Sad: 35].
Apa yang dituntut buat kita umat Muhammad SAW ialah mengikuti syariat Muhammad SAW bukan para Nabi AS terdahulu.
Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita semua.