Buah Epal

Epal bersifat antivirus, dan mengandungi flavonoid kuersetin (mempunyai kesan antioksidan) pektin (membentuk jeli yang memerangkap air), fosforus, kalium, kalsium dan vitamin C. Jus epal mengandungi bahan yang membunuh virus polio dan koksakie. Jus segar epal dan pektin bertindak sedikit terhadap aktiviti antikanser.

NAMA VERNAKULAR: EPAL, APEL
NAMA BOTANI: MALUS DOMESTICA BORKH.
FAMILI: ROSACEAE

MORFOLOGI

Pokok kecil atau sederhana besar, 5-10 m tinggi, banyak cabang, pucuk dan ranting muda mempunyai bulu.

Daun ringkas, bentuk bujur telur, panjang 4-13 cm, lebar 3-7 cm, pinggir daun bergerigi, permukaan bawah daun berbulu lebar dan lembut.

Bunga dalam jambak, tangkai bunga berbulu, 5 kelopak petal, berwarna putih hingga merah jambu.

Buah jenis pom bulat bebola atau bujur telur, pelbagai saiz, warna merah, merah jambu, hijau dan hijau-kuning, rasa manis , sedikit masam atau sangat masam.

KANDUNGAN

Buah (isi 100 g)—85 g air, 10-13.5 % karbohidrat (kebanyakannya fruktosa), 0.2 mg besi, 10 mg fosforus, 150 mg kalium, 10 mg kalsium, 10 mg vitamin C , sedikit vitamin A, B1 , B2 , B6 dan pektin.

TABURAN

Epal berasal dari kawasan barat daya Asia. Secara komersial epal paling banyak dihasilkan di Eropah, Amerika Utara, China, Jepun, Turki, Iran, Argentina dan Australia. Di Asia Tenggara, ia dihasilkan di Malaysia (Sarawak, sedikit di Cameron Highlands), Thailand, Indonesia dan Filipina.

PENANAMAN

Epal lazimnya dibiak dengan kaedah cantuman tunas. Di kawasan tropika hampir semua pucuk epal tumbuh menghala ke atas, daun kekal lebih lama atas dahan dan menjadi malar hijau. Ia berbunga selepas 2 tahun. Dahan ditarik supaya lebih mendatar dan tidak menegak, manakala tunas hujung ranting dicantas dan kesemua daun ditanggalkan bagi merangsang keadaan seperti pada musim sejuk supaya menghasilkan banyak bunga serentak. Pokok boleh dirangsang sebegini supaya berbuah dua kali setahun. Masa antara bunga dan buah masak adalah antara 3.5-5 bulan, bergantung jenis kultivar.

PENYAKIT/PEROSAK 

Jangkitan kulat akan menyebabkan daun bertukar hitam serta penyakit merah jambu pada daun iaitu sejenis kanker yang menjangkiti bahagian yang telah luka dicantas, dan juga pada ketiak cabang. Semua bahagian yang dijangkiti kanker perlu dicantas buang supaya ia tidak merebak. Serangga dan tungau menghisap cecair pokok epal.

KHASIAT MAKANAN

Buah masak: Dimakan mentah, jus dan sos, sebagai cam atau ramuan salad, dibuat sup, panggang, dibuat pai dan kueh-muih. Epal dipotong berkeping-keping lalu dijemur sehingga kering untuk digunakan sebagai bahan masakan.

KHASIAT UBATAN

Buah: Dianggap sebagai penawar dalam ubat tradisional Barat, Makan dua atau tiga biji epal setiap hari boleh mengurangkan kadar kandungan kolesterol dalam darah, Makan epal atau minum jus epal dapat melawaskan buang air besar dan sembelit; bahan yang sama juga boleh mengubati cirit-birit. Kaedah tersebut juga digunakan untuk mencuci toksin daripada tubuh badan, rawatan artritis, gout dan reumatisme.

Menghidu bau epal diyakini dapat menenangkan fikiran, mengurangkan kerisauan, dan membawa keceriaan.

Untuk mendapat khasiat ubat herba yang maksimum, epal paling baik dimakan segar tanpa dikupas kulit, atau dimasak sedikit sahaja supaya tidak mengurangkan kandungan vitamin C dan serabut. Epal hijau dan masam biasanya mengandungi lebih vitamin C.

Rujukan
Buah Khasiat Makanan & Ubatan

Banner 1

rawatan bekam





Leave a Reply

Your email address will not be published.