Buah Limau Oren

Limau oren mengandungi vitamin A, C, pektin (sejenis serabut larut yang mengurangkan kolesterol dalam darah, terutamanya kolesterol tidak baik jenis LDL.) dan hesperidin (dapat menyembuhkan pendarahan jenis tertentu dalam kapilari). Hesperidin ialah sejenis vitamin P. Kekurangan hesperidin menimbulkan masalah pendarahan melalui kapilari, sakit pada hujung jari, lemah otot dan kaki kejang pada waktu malam.

NAMA VERNAKULAR: LIMAU CHULA, LIMAU CORENG, LIMAU MANIS
NAMA BOTANI: CITRUS SINENSIS (L.) OSBECK
FAMILI: RUTACEAE

MORFOLOGI

Pokok kecil, setinggi 6-15 m, bahagian silara bulat. Ranting bersudut ketika muda, biasanya berduri pada bahagian ketiak daun.

Daun susunan selang-seli, panjang 5-15 cm, lebar 2-8 cm, tangkai daun 1-3 cm panjang, bersayap tirus.

Bunga tunggal atau dalam jambak kecil pada ketiak daun, ukuran garis pusat 2-3 cm, wangi, kelopak bunga warna putih.

Buah jenis beri bulat bebola, 4-12 cm ukuran garis pusat, hijau sebelum masak, hijau kekuning-kuningan hingga jingga berkilauan apabila masak. Tebal kulit buah sampai 0.5 cm, mempunyai kelenjar minyak. Isi buah warna kuning hingga jingga kemerah-merahan. Paksi tengah buah agak pejal serta tiada berongga.

KANDUNGAN

Buah (isi 100 g)—80-90 g air, 0.7-1.3 g protein, 0.1-0.3 g lemak, 12.0 -12.7 g gula, 0.5 g serabut, 200 IU vitamin A, 4561 mg asid askorbik, 0.5-2.0 g asid sitrik dan banyak glukosid hesperidin.

Kulit buah-karotinoid jenis fitosterolin (ipuranol) dan fitosterol, pektin dan minyak pati. Dalam minyak pada kulit limau oren ada kardinin, limonin, linalol, terpin, sitral dan geraniol.

Daun-stakidrin dan hesperidin

TABURAN

Limau oren dipercayai berasal dari kawasan selatan China dan utara Vietnam. Kini ia ditanam di semua kawasan tropika dan subtropika. Di kawasan khatulistiwa seperti di Malaysia, ia ditanam di kawasan tanah tinggi. Pengeluar utama limau oren ialah Amerika Syarikat dan Brazil.

PENANAMAN 

Limau oren ditanam dengan kaedah cantuman, terutamanya untuk tujuan pertanian komersial. Bagi petani kecil, ia ditanam secara tut. Biji bercambah antara 3-4 minggu selepas ia disemai. Benih yang ditanam dengan biji akan mengambil masa 8 tahun untuk matang. Benih daripada jenis cantuman pula berbunga sama ada dalam tahun kedua atau ketiga.

PENYAKIT/PEROSAK

Penyakit dan perosak dikawal rapi dalam negara penghasil utama limau oren. Di Asia Tenggara pokok limau oren menghadapi pelbagai jenis penyakit dan perosak yang serius.

KHASIAT MAKANAN

Buah: Dimakan segar dan diminum dalam bentuk jus segar, jus kordial, dan jus dalam tin, kotak dan ada juga dijadikan serbuk untuk dibancuh dengan air. Buah juga dibuat jem, jeli, perisa makanan serta minuman. Sebanyak 90% jumlah hasil limau oren di Amerika Syarikat dan Brazil dijadikan jus untuk dijual, dan hanya 10% dijual sebagai buah segar. Pektin dan minyak pati juga dikeluarkan daripada kulit limau oren. Hampas buah limau pula dijadikan makanan haiwan ternakan.

KHASIAT UBATAN

Buah: Dibakar sampai kulit jadi hitam, biarkan sejuk lalu dikupas kulitnya dan isi dimakan sebagai rawatan batuk yang berlanjutan. Rasa isi limau oren yang dibakar adalah pahit (bukan manis atau masam).

Jus digosok pada lidah untuk rawatan penyakit seriawan.

Jus limau oren dicampur madu lebah lalu diminum untuk rawatan sakit kerongkong, panas badan atau sakit kepala.

Air rebusan kulit buah diminum sebagai ubat disenteri, membunuh cacing dalam perut dan usus, mengeluarkan angin dalam perut dan usus serta sebagai pembuka selera.

Bunga: Air rebusan diminum untuk menenteramkan fikiran.

Daun: Direbus atau dibancuh dengan air mendidih lalu diminum untuk mengubati bronkitis, kekejangan, degupan jantung tidak betul, penyakit sawan babi, sakit perut, selesema, merangsang peluh dan mengeluarkan toksin daripada tubuh ibu lepas bersalin.

Rujukan
Buah Khasiat Makanan & Ubatan

Overview

Ilmiah
5 / 5
5
Kualiti
5 / 5
5
Fakta
5 / 5
5
5
SUPERB!

0 Reviews ( 0 out of 0 )

Write a Review

Banner 1







Banner 2

unifi

Banner lazada

Banner 3

Leave a Reply

Your email address will not be published.