Bekam adalah salah satu daripada rawatan alternatif yang terdapat di Malaysia. Rawatan yang berasal dari timur tengah ini telah wujud beribu tahun lagi. Bekam juga antara perkara yang disebut secara jelas dalam hadis Rasullullah S.A.W yang mafhumnya:
“ Lima hal termasuk sunnah para rasul, iaitu malu, pemaaf, bekam, siwak dan memakai wangian.” (Hadis riwayat Thobrani dan Ibnu Jarir, dan hadis ini memiliki riwayat pendukung yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas)
Apa itu sebenarnya berbekam?
Berbekam adalah satu proses sedutan melalui kulit dengan menggunakan cawan bekam. Terdapat 2 jenis bekam iaitu bekam basah dan bekam kering. Berbekam juga dipercayai mampu untuk membuang darah kotor yang bertoksin dan beracun yang berbahaya, dari tubuh badan kita melalui permukaan kulit.
Apa itu bekam kering?
Bekam kering juga disebut sebagai bekam angin, berbekam dengan cara ini adalah menyedut permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah dari dalamnya. Bekam ini biasa digunakan untuk mengatasi rasa kesakitan di bahagian sendi atau pinggang. Bekam jenis ini akan meninggalkan bekas bekam berupa lebam warna merah kehitam-hitaman pada tempat yang dibekam dan akan hilang beberapa hari selepas berbekam.
Apa itu bekam Basah?
Bekam basah adalah kaedah berbekam yang dilakukan dengan melakukan bekam kering dulu kemudian permukaan kulit yang dibekam dilukai dengan jarum atau pisau kecil yang disterilkan. Kemudian darah kotor disedut melalui luka tersebut dengan menggunakan cawan sedutan dan pam tangan. Kebiasaannya proses ini dilakukan selama 3 hingga 5 minit dan tidak boleh melebihi 9 minit. Penyedutan darah dapat dilakukan sebanyak maksima 7 kali dan tidak boleh lebih. Biasanya pada bahagian yang disedut akan mengeluarkan darah berwarna merah kehitaman dan berbuih.
Kajian Tentang Kebaikan Berbekam
Satu kajian yang telah dijalankan oleh Public Health Administration, Ministry of Health, Jeddah 21333, Saudi Arabia pada tahun 2015 tentang keberkesanan berbekam untuk mengawal tekanan darah tinggi. Kajian tersebut dijalankan ke atas 2 kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada 40 orang peserta.
Kumpulan pertama terdiri daripada peserta yang hanya mengambil perubatan konvensional manakala kumpulan kedua adalah peserta yang mengambil perubatan konvensional dan juga rawatan alternatif dengan berbekam.
Kajian ini dijalankan selama 8 minggu dengan sesi berbekam setiap 2 hari kepada peserta di kumpulan kedua.
Hasil daripada kajian tersebut mendapati terdapat pengurangan tekanan darah tinggi sistolik sekiranya berbekam dijalankan selama 4 minggu jika dibandingkan dengan kumpulan pertama yang tidak berbekam.
Baca kajian asal di sini: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26559364
Satu lagi kajian telah dilakukan oleh pengkaji tempatan daripada Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan untuk membuktikan bahawa berbekam adalah selamat, berkesan, bersih dan boleh membantu mencegah pelbagai penyakit.
Dalam kajian yang dijalankan selama 2 tahun itu, ia memberi hasil yang menunjukkan indikator terhadap pelbagai penyakit dengan mengurangkan kolesterol, menurunkan tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Walau bagaimanapun, secara umumnya, kajian ini menunjukkan keberkesanan berbekam dalam membantu mengawal tekanan darah tinggi dan juga pelbagai penyakit, tetapi ini tidak bermakna pesakit boleh meninggalkan rawatan susulan di pusat kesihatan atau hospital kerana pemantauan berterusan adalah penting untuk semua pesakit umumnya dan untuk pesakit darah tinggi khasnya.
Kesimpulannya, berbekam didapati boleh mendatangkan kesan positif kepada pesakit kerana ia dapat membantu dalam mengubati pelbagai penyakit dan membantu rawatan konvensional. Oleh itu, jelaslah bahawa berbekam adalah satu rawatan alternatif yang masih relevan sehingga ke hari ini.
عن أنس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إذا هاج بأحدكم الدم فليحتجم، فإن الدم إذا تبيغ بصاحبه يقتله
Daripada Anas bin Malik r.a. memberitakan Rasulullah bersabda, Sekiranya darah kamu meluap (tekanan darah tinggi) hendaklah dia berbekam, sesungguhnya darah apabila ia meluap boleh membunuh. (Ibnu Jarir al-Tabari)