Khasiat Buah-Buahan

Khasiat Buah-Buahan 1

Buah-buahan merupakan sumber penting pelbagai bahan yang diperlukan oleh tubuh kita, terutamanya karbohidrat, mineral dan vitamin. Karbohidrat dalam buah-buahan biasanya dalam bentuk pelbagai jenis gula, tetapi kadangkala terdapat juga dalam bentuk kanji, contohnya buah sukun.

Gula menyumbang tenaga untuk kegunaan tubuh badan. Secara keseluruhan, kandungan mineral dan vitamin buah-buahan hampir sama dengan kandungan di dalam sayuran. Perbezaannya, kebanyakan buah-buahan dimakan mentah, sebaliknya sayuran dimasak sebelum dimakan.

Makan bahan mentah yang segar membekalkan kesemua mineral dan vitamin untuk diserap oleh perut dan usus. Makanan yang dimasak akan kehilangan sedikit sebanyak kandungan vitamin. Buah-buahan tertentu juga menyumbang protein dan lemak kepada tubuh badan. Antara jenis buah yang kaya dengan protein dan lemak ialah avokado, belinggai, durian dan gajus.

Khasiat buah-buahan adalah berbeza berdasarkan faktor-faktor berikut: 

  • Jenis buah, bukan sahaja dari segi spesies tetapi juga pada peringkat kultivar atau varieti.
  • Kesegaran buah.
  • Buah muda, ranum atau terlalu ranum.
  • Baja atau nutrien yang terdapat di dalam tanah di sekitar akar pokok.
  • Keadaan cuaca, sama ada mencukupi atau tidak mencukupi keperluan pokok.

Cara penyediaan buah: 

  • Dimakan segar atau mentah.
  • Dimakan bersama kulit atau tidak.
  • Jangka masa buah dimakan: dibiarkan dahulu atau terus dimakan setelah dikupas.
  • Jika dibuat jus segar, perlu dikenal pasti sama ada jus diminum terus atau disimpan berjam-jam di dalam peti sejuk sebelum diminum.
  • Jika bukan buah segar, perlu dikenal pasti cara penyediaan, berapa lama disimpan serta keadaan di sekeliling tempat simpanan.

Kepentingan Bahan Nutrien dalam Buah-Buahan

Lazimnya kandungan buah-buahan terdiri daripada air, karbohidrat, protein, lemak, serabut, mineral dan vitamin. Nutrien makro seperti karbohidrat, protein dan lemak merupakan bahan yang diperlukan dalam kuantiti yang besar. Mineral dan vitamin pula merupakan bahan yang diperlukan dalam kuantiti yang kecil sahaja. Setiap mineral dan vitamin diperlukan dalam julat kuantiti tertentu.

Masalah kesihatan boleh timbul sekiranya kurang atau terlalu lebih mengambil sesuatu mineral atau vitamin. Buah-buahan juga mengandungi pelbagai sebatian kimia lain yang memberi kesan positif, neutral atau negatif kepada kesihatan manusia, bukan sahaja berasaskan jenis sebatian tetapi juga kuantiti dan nisbah sesuatu sebatian dengan yang lain.

Oleh sebab bahagian tumbuhan selain daripada buah mungkin digunakan sebagai ubat herba, kandungan sebatian bahagian yang digunakan akan berbeza daripada kandungan yang terdapat di dalam buah. Sebatian tertentu dalam sesuatu tumbuhan akan wujud pada semua bahagian tumbuhan tetapi terdapat banyak jenis sebatian yang terhad kepada bahagian tertentu sahaja. Walaupun terdapat pada beberapa bahagian tumbuhan, kuantiti kandungan sesuatu sebatian pada bahagian yang berlainan tidak semestinya sama.

Karbohidrat

Karbohidrat merupakan sumber utama tenaga yang dikenali dalam bentuk paling ringkas sebagai gula, contohnya glukosa dan fruktosa. Kedua-duanya digabungkan menjadi sukrosa. Gula pasir ialah sukrosa. Gula dalam buah-buahan menjadi sumber tenaga yang cepat diserap oleh tubuh kita. Sebatian karbohidrat yang lebih kompleks ialah kanji. Ia paling banyak di dalam ubi, bijirin, keladi dan sagu. Ia juga terkandung dalam buah seperti sukun dan pisang daripada jenis yang kurang manis.

Dalam proses penghadaman, tubuh kita memecahkan kebanyakan karbohidrat menjadi gula ringkas lalu menghasilkan insulin untuk menyerap gula ringkas yang digunakan sebagai sumber tenaga. Kekurangan penghasilan insulin dalam tubuh menyebabkan masalah diabetes di mana kandungan gula meningkat di dalam darah kerana tidak dapat diserap dan ditukarkan menjadi tenaga. Kebanyakan buah-buahan mengandungi gula dalam satu bentuk atau pelbagai jenis.

Lemak

Hampir kesemua lemak dalam makanan terdiri daripada asid lemak yang boleh dikelaskan sebagai tepu, monotaktepu atau politaktepu. Walaupun kebanyakan makanan mengandungi ketiga-tiga jenis asid lemak tetapi lemak tepu paling banyak di dalam daging haiwan ternakan dan produk susu. Manakala tumbuh-tumbuhan pada amnya lebih menghasilkan lemak (minyak) tak tepu. Ikan dan kerang mengandungi hampir semua lemak politaktepu.

Kolesterol ialah bahan lilin lemak yang terdapat dalam daging haiwan, tanpa mengira sama ada lemaknya jelas kelihatan atau tidak. Manusia perlu makan sedikit lemak kerana lemak merupakan sumber tunggal asid lemak penting yang diperlukan oleh tubuh kita. Kebanyakan vitamin E terkandung dalam lemak. Lemak juga diperlukan untuk menyerap vitamin A, D, E dan K.

Makan terlalu banyak lemak dan kolesterol tidak baik untuk kesihatan tetapi jika tiada langsung lemak yang sesuai dalam pengambilan sesuatu makanan boleh menyebabkan kekurangan vitamin dan memudaratkan kesihatan. Sumber lemak daripada buah-buahan adalah seperti avokado, durian, isi kelapa dan kacang gajus.

Protein

Manusia perlukan pelbagai jenis protein untuk tujuan membina serta membaiki sel, dan menghasilkan hormon serta enzim. Tubuh kita membina protein dengan menyatukan komponen asas iaitu lebih kurang 20 jenis asid amino. Orang dewasa perlukan 8 jenis asid amino manakala kanak-kanak perlukan 9 jenis asid amino daripada makanan. Dengan menggunakan asid amino yang diperlukan ini, tubuh kita boleh menghasilkan baki daripada jenis yang lain.

Kesemua asid amino yang diperlukan terdapat dalam protein haiwan seperti daging, telur dan susu. Protein daripada satu jenis tumbuhan tidak dapat menyumbang kesemua jenis asid amino yang diperlukan. Oleh demikian kita perlu makan pelbagai jenis tumbuhan. Kebanyakan buah-buahan agak kurang atau tiada langsung protein di dalamnya kecuali buah seperti avokado dan durian. Nat seperti kacang gajus juga mengandungi banyak protein.

Serabut (Fiber)

Terdapat dua kumpulan utama serabut iaitu jenis larut dan tidak larut. Kedua-dua jenis diperlukan oleh manusia. Serabut yang larut terdapat terutamanya dalam oat, kekacang, nat, bijirin, buah-buahan dan sayuran. Bijirin, terutamanya jenis yang tidak dikilatkan merupakan sumber utama serabut tidak larut.

Serabut yang larut mengurangkan kadar penghadaman dalam perut maka dengan itu dapat membekalkan tenaga pada kadar yang lebih rata. Makan banyak serabut larut terbukti dapat mengawal kadar lemak berlebihan dan mengurangkan tahap kolesterol dalam darah.

Serabut tidak larut akan menambahkan kuantiti air besar, di mana keadaan ini mempercepatkan dan melawaskan pembuangan air besar. Makan banyak serabut tidak larut boleh mengurangkan masalah sembelit. Penghidap sembelit lebih berkemungkinan menghadapi masalah buasir dan penyakit lain di dalam perut dan usus, contohnya kanser perut dan kolon. Melawaskan dan mempercepatkan buang air besar juga dapat mengeluarkan bahan toksik dengan cepat.

Bijirin yang tidak dikilatkan, buah-buahan yang dimakan dengan kulit, dan sayuran berdaun merupakan sumber utama serabut tidak larut. Lapisan luar bijirin yang tidak dikilatkan dan kulit buah-buahan mengandungi banyak serabut tidak larut, mineral dan vitamin.

Mineral dan Vitamin

Tubuh manusia memerlukan lebih kurang 15 jenis mineral dan 15 jenis vitamin dalam kuantiti yang kecil untuk kesihatan. Selain daripada vitamin D dan K, kesemua mineral dan vitamin hanya diperoleh daripada makanan. Kekurangan mana-mana satu bahan ini boleh menimbulkan masalah kesihatan secara langsung atau mengurangkan daya tahan terhadap penyakit.

Dalam negara yang maju, kekurangan mineral dan vitamin timbul kerana sesetengah masyarakatnya kurang arif tentang pilihan makanan. Contohnya, makan terlalu sedikit sayuran dan buah-buahan segar, ketagihan arak, makan terlalu banyak bahan manis, lemak dan makanan yang hilang mineral serta vitamin melalui pemprosesan makanan. Orang yang makan banyak karbohidrat tetapi kurang atau tiada langsung makan daging, sayuran atau buah-buahan juga mengalami masalah kesihatan berkaitan dengan kekurangan mineral dan vitamin.

Antioksidan

Banyak makanan menyumbang bahan antioksidan yang membantu tubuh mempertahankan kesihatan dengan menghalang kesan buruk akibat proses pengoksidaan. Pengoksidaan berlaku secara semula jadi dalam tubuh manusia apabila radikal bebas oksigen merampas ion hidrogen daripada molekul jirim lantas berlaku tindak balas yang berlanjutan sehingga tisu cedera.

Jika faktor antioksidan tidak mencukupi untuk menghentikan penghasilan radikal bebas, sistem pertahanan tubuh akan tertekan dan menjadi lemah. Radikal bebas juga terdapat dalam asap tembakau dan udara yang tercemar. Pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan mengurangkan risiko diserang sakit jantung, strok, katarak dan jenis kanser tertentu.

Malah antioksidan dapat menghalang proses penuaan, kelemumur, nafas berbau, kulit berkedut, diabetes, dan serangan jantung. Bahan antioksidan yang utama dalam makanan ialah beberapa jenis karotena, vitamin C, vitamin E dan banyak jenis flavonoid. Kekurangan kuprum, selenium dan zink dalam tubuh akan melemahkan pertahanan antioksidan. Kandungan besi yang berlebihan menggalakkan pengoksidaan.

Risiko Makan Buah-buahan

Tumpuan subjek artikel ini ialah khasiat buah-buahan dalam aspek pemakanan dan perubatan. Namun pembaca juga perlu tahu bahawa ada jenis buah tertentu atau makan terlalu banyak buah mengakibatkan pelbagai kesan negatif. Contohnya, orang yang lemah paru-paru akan batuk dengan teruk jika makan pisang embun walaupun hanya sebiji. Ada pula orang yang tidak boleh makan buah bacang atau kuini kerana kerongkong akan gatal-gatal dan batuk. Makan banyak rambai serta menelan bijinya mengakibatkan masalah buang air besar.

Ada juga yang dikaitkan dengan keadaan cuaca. Contohnya jika musim panas, atau orang yang panas badan memang sesuai makan tembikai, tetapi wanita lepas bersalin tidak boleh makan tembikai kerana badan akan berasa sejuk. Jika makan banyak durian pada musim panas boleh mengakibatkan sakit kerongkong melainkan jika manggis dimakan selepas makan durian. Kesan negatif ini bukan sahaja cerita orang atau kepercayaan kolot kerana ada kesan (bukti) yang berasaskan sains.

Kesan Negatif

Gula

Walaupun gula menyumbang tenaga kepada tubuh kita tetapi pengambilan secara berlebihan kurang baik untuk kesihatan. Pembaca perlu yakin dengan nasihat oleh pakar nutrisi yang mengesyorkan pengurangan pengambilan gula pasir dan gula buah-buahan. Oleh itu elakkan pengambilan buah secara berlebihan. Minum terlalu banyak jus epal setiap hari boleh mereputkan gigi, terutamanya bagi kanakkanak. Makan terlalu banyak longan mengakibatkan sakit kerongkong dan suara serak. Makan terlalu banyak durian menyebabkan perut berasa kurang selesa, sakit kerongkong, suara serak, panas badan dan berkemungkinan demam panas.

Makanan yang kaya dengan gula lebih cepat dihadamkan berbanding dengan makanan yang kaya dengan serabut larut. Gula cepat masuk ke dalam darah dan menjadi sumber tenaga yang cepat dapat digunakan. Peningkatan kandungan gula dalam darah secara mendadak bermakna kandungan gula dalam darah juga akan turun secara laju. Keadaan demikian berbahaya kepada penghidap diabetes dan obesiti.

Kandungan gula dalam darah diperlukan pada tahap seimbang supaya tenaga dibekalkan pada kadar yang rata untuk menstabilkan fikiran dan perasaan. Faktor ini penting bagi memudahkan penghasilan insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga. Kemungkinan menjadi gemuk dapat dikurangkan kerana perut akan kurang berasa lapar, apabila kandungan gula dalam darah jatuh terlalu cepat. Makan terlalu banyak gula dan makanan kanji yang kurang serabut dikaitkan dengan masalah peningkatan lemak di dalam darah, obesiti, tahap estrogen meningkat dan seterusnya menambahkan kemungkinan kanser payu dara.

Lemak

Pengambilan lemak secara berlebihan mempunyai pelbagai kesan negatif yang bergantung kepada tindak balas tubuh kita terhadap jenis dan kuantiti lemak yang dimakan serta gaya hidup seseorang. Pada amnya, makan terlalu banyak lemak sama ada daripada tumbuhan atau haiwan akan menambahkan berat badan. Obesiti juga menambahkan risiko menghidap pelbagai penyakit. Terlalu banyak makan minyak tepu menambahkan risiko penyakit jantung dan strok. Satu cara untuk menurunkan berat badan adalah dengan mengurangkan pengambilan lemak terutamanya yang bersumber daripada haiwan. Namun pengambilan lemak tumbuhan yang keterlaluan daripada kelapa juga tidak baik.

Sejenis lemak yang dinamakan kolesterol diperlukan dalam tubuh badan untuk menjalankan beberapa fungsi dalam sistem enzim dan penghasilan hormon. Kita perlu makan sedikit lemak supaya tidak kekurangan vitamin yang larut dalam lemak tetapi kita tidak perlu makan kolesterol kerana tubuh kita boleh menghasilkannya. Kolesterol yang tinggi dalam darah meningkatkan risiko serangan penyakit jantung dan strok. Makanan daripada sumber haiwan seperti hati, telur dan haiwan bercangkerang kaya dengan kolesterol. Kelapa juga banyak mengandungi kolesterol. Umumnya ada jenis kolesterol yang baik dan yang tidak baik untuk kesihatan.

Serabut (Fiber)

Makan terlalu banyak serabut tidak larut mengakibatkan kembung perut dan ketidakselesaan. Makanan yang kaya dengan serabut juga boleh meningkatkan kandungan gula dalam darah. Kulit gandum mengandungi banyak serabut tidak larut yang baik untuk kesihatan tetapi ia turut mengandungi asid fitik. Asid fitik menyukarkan tubuh menyerap besi, kalsium dan zink daripada makanan. Pengambilan gandum yang tidak dikilatkan secara berlebihan menyebabkan tubuh kekurangan besi, kalsium dan zink. Namun makan sedikit gandum adalah baik untuk kesihatan.

Rujukan
Buah Khasiat Makanan & Ubatan

5/5 - (3 votes)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *