Bekam dengan Pisau atau Jarum?

Bekam dengan Pisau atau Jarum? 1

SALAM MASNUN

Stigma masyarakat

Pada ketika ini masyarakat sering ditakutkan mengenai bekam oleh orang Islam sendiri. Pelbagai perkataan negatif seperti KETAGIH, JANGKITAN, BEKAM TANDUK dan lain-lainnya dikaitkan dengan bekam sehingga ada yang meninggalkan terus perubatan wahyu ini hanya kerana perkataan-perkataan tersebut.

Ini realiti yang berlaku dan kami sering kali berjumpa dengan masyarakat sedemikian hinggakan terpaksa baiki balik salah faham tersebut dengan penerangan dan pembuktian. Kita perlu akui bahawa ketika ini zaman maju ke depan dalam kemodenan. Masrayakat generasi sekarang adalah masyarakat yang fikirannya berbeza dengan generasi yang sebelum ini.

Perdebatan di kalangan Ahli bekam

Di kalangan pengamal bekam pula ada ceritanya tersendiri. Pada ketika ini berlegar satu perdebatan oleh ahli bekam mengenai alat bekam yang mengikut sunnah, melibatkan penggunaan jarum dan pisau. Antara keduanya mana yang sunnah? Kerana masing-masing mahu membuktikan kebenaran dan pendapat mereka sahaja yang betul, maka keluarlah pelbagai hadith dan rujukan.

Saya bukanlah seorang ahli agama yang boleh bahaskan hadis dan mengeluarkan rujukan. Saya hanya manusia jahil yang tak tahu apa-apa. Apakah saya mampu berhujah mengenai sunnah Baginda Agung s.a.w ini? Namun, setelah bertahun berenang dalam lautan bekam saya memiliki satu keyakinan dan pendirian sendiri melalui ihsan Allah S.W.T.

Allah jadikan dunia ini seimbang antara lembut dan keras. Allah jadikan pelbagai makhluk yang bersifat lembut seperti air dan makhluk yang bersifat keras seperti batu. Allah juga letakkan sifat lembut dan keras ini dalam makhluk yang lain termasuklah malaikat dan manusia. Ada malaikat yang Allah jadikan bersamanya sifat keras seperti malaikat Malik penjaga neraka. Manakala Allah jadikan Malaikat Ridhuan yang bersifat lembut untuk menjaga syurga.

Allah juga telah letakkan sifat lembut dan keras ini pada manusia, tidak terkecuali para Nabi dan Rasul. Nabi Musa a.s Allah jadikan pada Baginda sifat yang keras untuk ketegasan dan keberanian. Allah juga jadikan Nabi Muhammad s.a.w yang mana pada Baginda sifat lemah lembut mengatasi segala sifat.

Rasulullah s.a.w pernah gambarkan ada dua Sahabat Baginda, seorang bersifat lembut dan seorang bersifat keras. Yang bersifat lembut adalah Hadrat Saidina Abu Bakar RA dan yang bersifat lembut pula adalah Hadrat Saidina Umar RA. Begitu juga dalam kalangan Para Ulama. Ada yang begitu tegas dan keras seperti Imam Ibnu Qayyim rah dan yang bersifat lembut seperti Imam Al-Ghazali rah.

Dalam menghuraikan permasalahan bekam, mutakhir ini dilihat ada dua aliran berbeza yang sering dibangkit. Satu aliran condong pada penggunaan pisau dan satu lagi condong pada penggunaan jarum. Ada pihak begitu KERAS sehingga mengeluarkan pelbagai pendapat seolah-olah berbekam dengan menggunakan jarum adalah bertentangan dengan sunnah, perlu ditolak dan tidak bermanafaat. Golongan ini hanya berkata bekam sebenar adalah mengikut sabdaan, “syarthoh mihjam” (torehan pisau).

Saya pernah pergi ke sebuah pusat rawatan bekam dan menyamar untuk berbekam. Niat saya hanya untuk mengetahui pendapat orang lain mengenai bekam. Saya tahu bahawa di situ masih menggunakan pisau. Oleh kerana saya ingin berbekam menggunakan jarum, maka juru-bekam tersebut membuka nas dan dalil mengenai penggunaan pisau. Dari kata-katanya saya dapat fahami yang beliau cuba mengatakan berbekam dengan jarum adalah tidak sunnah dan membawa mudarat.

Sekali lagi saya katakan, saya bukanlah ahli agama yang mampu menghuraikan setiap permasalahan agama. Pada pendapat saya yang hina ini pasti adalah lemah dan cacatnya. Bagi saya tidak adil jika mereka begitu keras mengenai penggunaan pisau dengan pelbagai bukti tetapi dapatkan mereka buktikan penggunaan cawan macam mana yang dikatakan sunnah? Sedangkan mereka sendiri menggunakan cawan bekam moden, bukankah itu juga bertentangan dengan sunnah?

Ya! Perkataan “Syarthoh Mihjam” adalah merujuk kepada penggunaan pisau yang ditoreh untuk melukakan kulit bagi membuka jalan agar darah kotor dapat keluar. Saya tidak nafikan kebaikan penggunaan pisau berbanding jarum. Namun pada zaman kini, dengan menyebut ‘torehan pisau’ sudah cukup orang berasa gerun. Dikhuatiri masyarakat semakin takut lantas menjauhi perubatan bekam.

Tambahan pula, bukan semua perawat adalah mereka yang berkemahiran tinggi. Terlalu ramai mereka yang menjadi perawat hanya sekadar ingin mendapatkan kewangan tanpa mengambil kira soal kebersihan, keselamatan dan semua yang berkaitan. Beberapa kes yang kami temui, ada terdapat kesan torehan bekam sepanjang 2 inci.

Ada juga kes pada mulanya kami sangkakan parut sebegitu adalah kesan dicakar kucing tetapi sebaliknya itu adalah torehan pisau bekam. Ada yang sudah 5 tahun dan ada yang lebih 10 tahun tetapi parut masih jelas. Apakah ini dikira sunnah?

Apakah torehan sebegini sunnah dan tidak mudarat?

Bekam dengan Pisau atau Jarum? 2

Dalam Islam, apabila sesuatu pekara yang baik tetapi mendatangkan mudarat pada orang-orang tertentu maka Islam melarangnya. Apatah lagi pada zaman yang penuh dengan fitnah dan penyelewengan ini. Zaman yang mana prinsip kebanyakan manusia asal dapat duit halal haram kemudian kira, keselamatan, kesihatan dan kebersihan diabaikan langsung.

Perlu diingatkan bahawa inovasi terhadap bekam ini hanyalah pada peralatan dan bukannya pada konsep asal yang merangkumi matlamat dan maksud asal berbekam. Perubahan pada peralatan bukanlah satu perkara yang besar dan dikira sebagai bida’ah. Peralatan dan amalan adalah dua perkara yang jelas berbeza. Perubahan pada alatan mengikut kesesuaian zaman adalah diterima tetapi berubahan dalam amalan adalah dikira satu perkara yang besar.

Dalam Islam juga kita percaya bahawa pada setiap 100 tahun Allah akan menghantar seorang atau lebih mujaddid yang bertanggungjawab mengembalikan kemurnian Islam yang telah diseleweng. Pembaharuan demi pembaharuan akan dibuat agar Islam itu kekal sempurna dan terpelihara. Dalam soal agama pun Allah akan hantar mujaddid, apakah dalam amalan sunnah bekam tidak boleh dilakukan berubahan agar sesuai dengan zaman?

Syekhul Hadith Maulana Zakaria rah, adalah seorang muhadith yang mahsyur. Beliau menulis dalam risalah “Syariat dan Tariqat” bahawa maksud dari perkataan “bida’ah” adalah melakukan perkara yang baru DALAM agama, bukannya melakukan perkara yang baru UNTUK agama. Beliau tekankan akan perbezaan kedua perkara tersebut dengan panjang lebar. Kemudian beliau berikan perumpamaan, jika zaman sekarang berjihad menggunakan pedang, panah dan tombak nescaya akan kalah. Sebab itu perlu ada satu pembaharuan dalam kaedah untuk penyesuaian dengan zaman.

Bekam dengan Pisau atau Jarum? 3

Oleh kerana saya berpegang pada pendapat ini maka saya beranggapan perubahan pada alatan bekam bukanlah satu bida’ah dan kesalahan. Inovasi jarum bekam adalah khusus untuk bekam. Jarum yang khas ini biasanya mempunyai saiz 21G dan 23G, yang berbeza dengan jarum yang digunakan untuk mengambil setitik darah untuk tujuan pemeriksaan.

Jarum khas bekam ini meninggalkan kesan yang hampir sama dengan penggunaan pisau iaitu sempit di dalam dan luas di luar. Luka sebegini memberi manafaat kepada proses pengeluaran darah yang sepatutnya. Inovasi jarum ini juga disertakan dengan pen lencet yang mempunyai kelajuan yang tinggi agar kesan sakit ketika tusukan jarum dapat dikurangkan.

Rata-rata hasil daripada pemerhatian saya selama ini menunjukkan kemahiran berbekam menggunakan pisau sudah hampir luput. Mereka yang masih menggunakan pisau terutamanya golongan muda tidak lagi mengikut kehendak yang sebenar. Oleh kerana kurang kemahiran dan torehan secara manual maka dikhuatiri luka torehan menjadi dalam iaitu luka melebihi lapisan Hypodermis kulit.

Kesan daripada torehan sebegini akan berisiko:-

  • Berlakunya pendarahan yang berterusan, lebih-lebih lagi jika torehan tersebut mengenai urat vena.
  • Luka mengambil masa yang lama untuk sembuh, kira-kira 3 hari sehingga satu minggu bahkan lebih lagi.
  • Jika luka terlalu lebar akan menyebabkan orang yang dibekam merasai pedih terutama ketika mandi, untuk beberapa hari.
  • Jika luka terlalu dalam, ini merisikokan berlakunya jangkitan. Lebih-lebih lagi orang yang dirawat tidak diberikan nasihat dan saranan agar menjaga beberapa perkara bagi mengelak jangkitan.
  • Kesukaran berbaring ketika hendak tidur.
  • Parut kesan torehan akan kekal sama ada kekal untuk beberapa tahun atau juga kekal selamanya.

Kaedah yang releven dan efektif bagi masa kini ialah dengan menggunakan jarum dan pen lencet. Sering mengambil maklum balas daripada pelanggan mengenai penggunaan jarum dan pisau. Hampir kesemuanya mahukan penggunaan jarum kerana dengan hanya sebutan ‘torehan mata pisau’ sudah cukup untuk menakutkan mereka.

Alhamdulillah hanya dengan Ihsan Allah, sepanjang tempoh kami memberikan khidmat bekam menggunakan jarum ini masih belum ada satu pun kes yang negatif seperti luka lambat sembuh, pendarahan yang serius dan juga jangkitan. Rata-rata pelanggan kami akan ulang-rawat lagi dan lagi bahkan ada yang datang untuk rawatan kali yang ke-20. Apakah ini tanda buruk atau pun ada kesan trauma?

Bekam adalah satu khazanah Islam yang bernilai untuk kesihatan manusia. Jika hari ini kita bersikap keras maka kita sendiri akan rugi kerana masyarakat mula menjauhi khazanah ini. Berbeza pendapat itu perkara biasa bahkan dengan perbezaan ini Allah turunkan rahmat untuk kita. Namun beradab dalam berbeza pendapat itu perlu seperti para Ulama yang terdahulu terutamanya Imam Mazhab.

Berbeza pendapat bukanlah satu kesalahan, tetapi yang salah adalah beranggapan hanya pendapat kita sahaja yang betul dan pendapat orang lain adalah salah dan sia-sia. Kita perlu menunjukkan Islam itu mudah dan membawa kebaikan, bukannya menggambarkan Islam itu susah dan membawa mudarat.

Jika anda berpegang pada pandangan menggunakan pisau teruskan usaha anda dengan niat yang ikhlas dan disertakan kejujuran. Biar masyarakat sama-sama menilai yang manakah kaedah yang terbaik. Kita hanya seorang perawat, yang menyembuhkan adalah Allah dan masyarakat sekeliling yang merasai kesan perubatan bekam akan menjadi penilai dalam usaha kita. Janganlah terlalu keras dengan pendapat sendiri sehingga tidak menghormati pendapat orang lain.

M.N.RIDUAN
21 JUNE 2014

5/5 - (4 votes)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *