Buah Tembikai

buah tembikai

Tembikai mengandungi vitamin A, kukurbisitrin (berkesan menyembuh masalah ginjal dan salur kencing) dan kukurbitositrin (berkesan mengurangkar tekanan darah). Makan terlalu banyak buah mentah tidak masak menyebabkan sakit yang teruk dan membawa maut. Tembikai mengandungi sejenis gula dan garam yang berkesan melawaskan buang air kecil dan merawat masalah ginjal.

NAMA VERNAKULAR: TEMBIKAI, TIMUN CINA
NAMA BOTANI: CITRULLUS LANATUS (THUNBERG) MATSUM & NAKAI
FAMILI: CUCURBITACEAE

MORFOLOGI

Pokok tumbuh untuk satu musim, menghasilkan sulur yang menjalar atas tanah apabila buahnya yang berat tidak boleh disokong oleh pokoknya yang memanjat. Batang kecil, bersudut, beralur, panjang 1.5-5 m, ada rerambut putih yang lembut.

Daun ringkas, bercuping-cuping, panjang 3-25 cm dan lebar 2-19 cm.

Bunga tunggal, dihasilkan di ketiak daun, tangkai bunga panjang, lebar 2-3 cm, warna kuning.

Buah berisi, bulat bebola, bujur telur atau memanjang, panjang 15-70 cm, berat 1-30 kg, kulit tebal atau nipis, warna hijau, hijau keputihan, hijau kekuning-kuningan, satu warna sama rata atau berjalur atau bertompok-tompok. Isi merah atau kuning, ada juga merah jambu, jingga atau putih.

Biji banyak (kecuali kultivar yang tiada biji), leper, licin, panjang 6-15 mm dan lebar 5-7mm, 2.5 mm tebal, warna hitam, coklat merah, kuning, adakala putih.

KANDUNGAN

Buah masak (isi 100 g)—90 g air , 9 g karbohidrat, 0.7 g protein, 0.1 g lemak, 300 IU vitamin A, 0.08 mg vitamin B1, 0.02 vitamin B2, 0.2 mg niasin, 6 mg vitamin C, 0.2 mg besi, 14 mg fosforus, 8 mg kalsium dan 10 mg magnesium.

Isi biji– 43% minyak dan 40% protein, banyak metionin, sedikit kukurbisitrin dan kukurbitositrin.

TABURAN 

Tembikai berasal dari Afrika. Kini ia ditanam hampir di keseluruhan kawasan tropika dan subtropika.

PENANAMAN

Tembikai ditanami biji atau kaedah cantuman. Biji direndam selama 24 jam sebelum ia disemai supaya lebih cepat bercambah. Jika biji keras dan tebal, hujung kulit biji perlu dipotong lalu direndam 24 jam sebelum disemai. Jenis baka baik boleh dipotong ketika mula bercambah, seterusnya dicantum dengan tembikai lain yang mana akarnya tidak diserang kulat, tetapi menghasilkan buah berkualiti rendah; atau boleh dicantum dengan labu botol atau labu merah. Biji mula bercambah 10 hari selepas ia disemai. Bunga paling banyak terhasil selepas 50-80 hari disemai. Buah mula masak antara 30-50 hari.

Buah Tembikai 1

PENYAKIT/PEROSAK

Serangan kulat dan virus menghasilkan penyakit pada tembikai. Cantuman dengan tumbuhan yang tahan lasak terhadap kulat yang menyerang akar boleh menjamin pertumbuhan yang sihat. Tembikai juga ada kultivar yang lebih tahan lasak. Tanaman bergilir di sawah padi atau tanah yang baru dibuka boleh mengurangkan jangkitan kulat. Bakteria mengakibatkan buah busuk atau buah bertompok-tompok. Ulat dan serangga merupakan perosak utama.

KHASIAT MAKANAN

Biji: Dimakan seperti makan kacang panggang. Isi biji tembikai dipisahkan daripada kulit biji dan digunakan untuk membuat kuih seperti kuih bulan. Di kawasan yang kering di Afrika, tembikai liar yang tidak manis menjadi satu daripada sumber air minuman untuk melegakan kehausan.

Buah masak: Dimakan mentah atau dibuat jus buah. Jus tembikai boleh dijadikan sirap atau bir. Lapisan di dalam kulit yang berwarna putih atau buah muda dimasak lemak, kari, sup, digoreng basah dan sebagainya. Di China dan beberapa negara Asia yang lain, kultivar tembikai yang menghasilkan banyak biji yang besar atau kecil ditanam untuk memperoleh biji tembikai yang dijadikan kuaci (biji tembikai dikering, dipanggang dan dicampur garam).

KHASIAT UBATAN

Akar: Dicampur kunyit lalu dihancurkan serta dicampur sedikit cuka sebelum dijadikan ubat pupuk untuk rawatan sakit reumatisme.

Biji: Dipecahkan, lalu direbus dan diminum untuk melawaskan buang air kecil, merawat bengkak, masalah sistem pernafasan dan membantu penghadaman. Biji yang segar dihancurkan lalu cecair diperah dan ditelan untuk mengatasi masalah cacing dalam perut dan usus.

Biji atau kulit buah dikeringkan, dipanggang, dihancurkan menjadi serbuk lalu dicampur air dan ditelan untuk rawatan sakit salur kencing.

Buah: Isi dimakan atau jusnya diminum untuk melawaskan buang air kecil, sebagai tonik, untuk mengeluarkan angin daripada perut dan usus, mengurangkan masalah bronkitis, ubat beri-beri, bengkak pundi kencing, sakit kerongkong, sakit mulut, ketagihan arak, demam kuning, kencing manis, masalah ginjal, bengkak sistem pernafasan dan banyak mukus.

Kulit buah diikat pada kepala untuk rawatan sakit kepala. Kulit buah dihancurkan dan dijadikan ubat pupuk untuk rawatan masalah hati.

Daun: Direndam lalu diminum untuk rawatan malaria.

CIRI KHUSUS:

Tembikai bersifat sejuk pada permulaan tahap yang kedua, dan basah pada akhir tahap yang kedua. Namun, biji tembikai yang dikeringkan tidak lagi bersifat membasahkan, sebaliknya bersifat mengeringkan pada tahap yang pertama. Akar tembikai pula bersifat mengeringkan.

Tembikai yang masak bersifat lembut, manakala yang putik pula bersifat tebal. Sifat tembikai putik adalah sama dengan sifat mentimun Mesir, termasuk dari sudut sifat membukakan. Humor yang dihasilkan oleh asparagus adalah lebih baik daripada humor yang dihasilkan oleh semua jenis tembikai. Isi tembikai, khususnya biji tembikai bersifat mematangkan dan menanggalkan. Tembikai masak dan putik masing-masing bersifat menanggalkan. Dalam hal ini, biji tembikai lebih kuat bersifat menanggalkan (berbanding isi tembikai).

Ketika berada di dalam gaster (perut), tembikai akan berubah kepada mana-mana humor yang sesuai (dengan tubuh badan). Namum, tembikai lebih cenderung berubah kepada humor Kahak berbanding humor Hempedu Kuning, apatah lagi humor Hempedu Hitam. Berbanding tembikai, asparagus tidak cepat berubah kepada humor.

Di dalam hadith ada dinyatakan di antara makanan yang digemari atau pernah dimakan oleh Baginda SAW. Antaranya adalah buah tembikai sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam kitabnya Sunan al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah:

Daripada Aisyah R.anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْكُلُ البِطِّيخَ بِالرُّطَبِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW pernah memakan buah tembikai bersama kurma basah.”

Rujukan
Khasiat Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Menurut Ibnu Sina
Buah Khasiat Makanan & Ubatan

5/5 - (2 votes)


simbol bagus

belajar mengaji

cara buat duit

unifi

maxis fiber

simkad tone wow

kupon temu

lazada affiliate

temu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *