Penyakit Resdung dan Puncanya

penyakit resdung

Sejenis penyakit hidung yang terjadi akibat radang pada membran sinus.

Sinus ialah rongga dalam tulang muka yang mengandungi udara & permukaannya diseliputi mukosa (kulit yang mengeluarkan mukus atau hingus).

Mukosa mengeluarkan hingus dalam keadaan biasa (fisiologikal) dan hingus ini mengalir keluar dari sinus melalui lubang kecil dinamakan ‘ostium’ ke dalam rongga hidung.

Apabila ‘ostium’ tersumbat, hingus terkumpul dalam sinus dan keadaan ini mengundang kehadiran kuman yang akhirnya boleh membawa kepada terjadinya resdung.

Punca Resdung

  • Virus
  • Bakteria
  • Kulat (fungus).

Resdung Kulat

Penemuan Klinik Mayo pada 1999 mendapati, ada kulat pada 96% pemeriksaan sampel hingus dari sinus pesakit sinusitis kronik. Ini bermakna ramai daripada pesakit sinusitis kronik mempunyai resdung kulat atau penyakit itu menjadi pemula kepada resdung kulat.

Satu kumpulan lagi pesakit yang kerap mengidap resdung kulat ialah mereka yang ada polip hidung.

Bagaimana Resdung Terjadi?

Ketika bernafas, setiap orang menghidu masuk ke dalam hidung berjuta spora fungus setiap hari (dianggarkan 57 juta spora sehari). Bagaimanapun, spora ini tidak dapat membiak dalam hidung atau paru-paru yang segar dan sihat.

Mukosa hidung dilengkapi sistem pertahanan tertentu untuk melawan fungus atau bakteria. Apabila berlaku ralat dalam sistem imuniti setempat atau umum, spora fungus dapat membiak sehingga menyebabkan resdung kulat.

Apa Kesannya Kepada Hidung dan Badan?

Spora dalam rongga sinus akan membiak dan mula memberi kesan buruk kepada sinus.

Kewujudan fungus membawa kepada beberapa reaksi kimia dan pemprosesan Major Basic Protein (MBP) yang berperanan membunuh fungus, tapi dalam masa sama memudaratkan mukosa dan membenarkan prolifirasi atau pembiakan bakteria.

Ada beberapa jenis sinusitis kulat, tetapi ia boleh dibahagikan kepada dua entiti utama, iaitu:

1. Jenis yang menyerang struktur sekeliling (invasive). Ini lebih berbahaya. Satu entiti dipanggil fulminant fungal rhinosinusitis mampu merebak cepat hingga ke otak & mengakibatkan kematian dalam masa singkat.

2. Jenis ini terjadi pada kes diabetes tidak terkawal dan pesakit kurang ketahanan badan Penyakit jenis ini menyerang pembuluh darah.

3. Jenis yang tidak menyerang struktur sekeliling (non-invasive). Contohnya ialah mycetom (bebola kulat), allergic fungal sinusitis.

Siapa Yang Boleh Terkena Jangkitan

Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak tertumpu kepada mereka yang ada ralat imuniti umum, pesakit diabetis atau pesakit kronik saja.

Ia lebih membabitkan orang dewasa dan sangat jarang berlaku kepada kanak-kanak. Kerapkali pesakit adalah mereka yang diketahui ada resdung dan sudah melakukan beberapa pembedahan hidung sebelumnya, tetapi penyakitnya tetap berulang. Sinus yang paling kerap terbabit ialah sinus maksila.

Simptom2 Kulat Resdung:

Pesakit mengalami simtom seperti sinusitis bakteria seperti:

1. Hidung berhingus, terutama ada benda hitam dalam hingus.
2. Hidung tersumbat.
3. Sakit kepala.
4. Keletihan dan badan rasa kurang sihat.
5. Batuk kronik.
6. Selalunya pesakit juga ada sinusitis yang tidak baik dengan rawatan antibiotik bahkan surgeri.
7. Ada sinusitis sebelah (unilateral).
8. Mengalami kerosakan pada tulang sinus (dapat dilihat melalui ujian imbasan Computer Tomography (CT) sinus).
9. Pesakit pernah mengeluarkan hingus terlalu pekat atau mempunyai tompokan hitam atau menyerupai keju.

Pemeriksaan

  • Pesakit memerlukan pemeriksaan endoskopi hidung. Pemeriksaan mungkin menampakkan ketulan hitam, hingus sangat pekat dan polip.
  • Kajian lain yang diperlukan untuk mengenalpasti penyakit ialah kultur kulat atau pemeriksaan histology cecair dari sinus.
  • Imbasan CT pula akan menunjukkan penemuan spesifik seperti kelompok putih (tumpat) atau pembabitan tulang sinus.
  • Ujian ‘magnetic resonance imaging’ ( MRI) pula dapat memberikan gambaran radiolojikal yang spesifik mengenai kewujudan penyakit.
5/5 - (1 vote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *