Kenali Penyakit Kencing Manis

Kenali Penyakit Kencing Manis 1

Ketahui Simptom, Komplikasi dan Rawatan.

Diabetes Mellitus jenis 2: Apakah ia?

Diabetes Mellitus jenis 2 atau lebih dikenali dengan kencing manis berlaku kepada semua peringkat umur dan simptom-simptomnya tidak nampak ketara. Malahan, hampir 1 dari pada tiga orang yang menghidap kencing manis tidak menyedari yang mereka mengalaminya. Diabetes merupakan keadaan yang kronik di mana badan tidak mampu menukarkan makanan kepada tenaga. Ini menyebabkan gula di dalam darah semakin bertambah dan meningkatkan risiko penyakit jantung, kegagalan buah pinggang dan komplikasi-komplikasi yang lain.

Insulin: Menukarkan Glukos kepada Tenaga

Selepas makan, saluran pencernaan akan menukarkan makanan yang berasaskan karbohidrat kepada gula ringkas ia itu glukos. Glukos akan masuk ke dalam saluran darah dan merangsang penghasilan insulin melalui pankreas. Insulin kemudiannya memastikan glukos masuk ke dalam sel-sel dan ditukarkan menjadi tenaga. Glukos yang berlebihan akan disimpan di bahagian hati.

Di dalam penyakit kencing manis, sel-sel tidak dapat menggunakan glukos dengan sempurna. Disebabkan itu, kandungan glukos dalam darah semakin meningkat. Dalam keadaan ini insulin akan dihasilkan kerana mengenal pastik kandungan gula yang tinggi. Walaupun banyak insulin dihasilkan, tetapi otot, hati dan lemak tidak dapat memberikan respon secara efektif. Keadaan insulin tersebut digelar rintangan insulin (insulin resistance).

Lama-kelamaaan penghasilan insulin akan menjadi semakin berkurangan apabila keadaan kencing manis tidak dapat dikawal dengan sebaiknya.

Simptom-simptom kencing manis

  • Cepat dahaga.
  • Kerap kencing dengan kuantiti yang banyak.
  • Cepat lapar.
  • Kebas kaki.
  • Mata kabur.

Faktor Risiko Yang Boleh Dikawal

  • Lebih berat badan: Apabila index jisim badan (BMI) anda melebihi 25.
  • Gaya hidup yang tidak aktif.
  • Tinggi kolesterol dan juga lemak. Contohnya HDL ‘kolesterol baik’ rendah daripada 35 mg/dL atau trigliserida melebih 250 mg/dL.
  • Tekanan darah melebih 140/90 mmHg untuk dewasa.
  • Merokok.

Faktor Risiko Yang Tidak Boleh Dikawal

  • Kaum India didapati mempunyai risiko kencing manis lebih tinggi berbanding kaum yang lain.
  • Umur melebihi 45 tahun meningkatkan risiko kencing manis.
  • Sejarah keluarga yang mempunyai kencing manis meningkatkan risiko tersebut.
  • Lebih banyak faktor risiko anda, maka kemungkinan untuk menghidap kencing manis menjadi semakin tinggi.

Faktor Risiko Untuk Wanita

  • Menghidapi kencing manis ketika mengandung meletakkan anda pada risiko yang tinggi untuk mendapat diabetes mellitus jenis 2 pada kemudian hari.
  • Perempuan yang melahirkan anak melebihi 3.5 kg juga turut mempunyai risiko.
  • Mempunyai sejarah ‘sindrom polisistik ovari’ juga meletakkan risiko anda untuk mendapat kencing manis.

Bagaimana untuk mendiagnos kencing manis?

Ujian darah yang ringkas sudah cukup untuk mendiagnos diabetes. Ujian HbA1C memberikan gambaran mengenai keadaan glukosa dalam darah pada dua tiga bulan sebelumnya. Ia menunjukkan bagaimana anda mengawal paras glukos anda. Sekiranya melebihi 6.5%, bermakna kawalan paras glukos anda tidak dikawal dengan baik.

Doktor akan melihat pada simptom anda dan juga ujian darah yang diambil. Sekiranya ujian darah ketika tidak makan dan selepas makan melebihi 7.0 mmol/L dan 11.0 mm0l/L, anda akan didiagnos mempunyai kencing manis.

Doktor juga akan meminta anda minum air gula yang telah disediakan sekiranya perlu untuk mendiagnos penyakit kencing manis.

Kerosakan jangka panjang: Arteri

Semakin lama, apabila kencing manis tidak dirawat, ia akan merosakkan banyak organ-organ lain dalam badan. Dua daripada tiga pesakit kencing manis mati disebabkan sakit jantung. Ia juga meningkatkan risiko untuk anda mendapat strok. Pesakit kencing manis lebih cenderung menyebabkan munculnya plak di dalam arteri dan mengurangkan pengaliran darah dan menyebabkannya tersumbat. Arteri akan menjadi semakin keras dan berlakulah penyakit jantung dan juga penyakit strok.

Komplikasi-komplikasi lain.

Bukan hanya strok dan sakit jantung. Penyakit kencing manis juga membawa kepada:

  • Kegagalan buah pinggang.
  • Kehilangan deria penglihatan dan juga katarak.
  • Hilang deria sentuhan terutamanya di kaki.
  • Jangkitan kuman menjadi lambat sembuh.

Mengawal diabetes: Diet

Apa yang baiknya mengawal paras glukosa dalam darah dengan diet turun mengurangkan risiko komplikasi kencing manis. Anda harus mengawasi kandungan karbohidrat dalam pemakanan anda. Sebaiknya kurangkan kalori dengan mengurangkan makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi putih dan juga roti putih. Gantikan dengan roti gandum sekiranya perlu.

Berjumpa dengan pakar pemakanan adalah cara terbaik untuk anda mengubah tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Senaman, senaman dan senaman.

Saya amat menitik beratkan hal ini kerana ia amat penting. Cukuplah sekadar senaman ringan dilakukan setiap hari. Semakin hari anda boleh meningkatkan kekuatan senaman anda. Apabila bersenam ia mampu membantu tubuh badan menggunakan insulin dengan efektif dan mengawal kandungan glukosa dalam darah.

Gabungan diet dan senaman juga akan mengurangkan lemak, merendahkan tekanan darah dan juga melindungi jantung anda.

Bersenam sekurang-kurangnya 3 kali sehari dengan senaman sederhana selama 30 minit.

Mengawal Diabetes: Ubat-ubatan

Apabila kencing manis tidak dapat dikawal dengan diet mahupun senaman, ubat adalah alternatifnya. Terdapat banyak jenis pil yang mampu mengawal kandungan gula dan boleh digunakan secara gabungan pil. Ada jenis ubat yang merangsang penghasilan insulin, ada ubat yang meningkatkan kesan insulin terhadap sel dan ada juga ubat yang menghalang pencernaan karbohidrat.

Mengawal Diabetes: Insulin

Dan dalam situasi-situasi tertentu, suntikan insulin diperlukan dalam rawatan kencing manis. Apabila anda didiagnos kencing manis ketika mengandung, insulin akan diberikan. Begitu juga apabila kandungan gula terlalu tinggi dan tidak dapat dikawal. Juga dalam keadaan situasi apabila pankreas mengalami kegagalan menghasilkan insulin.

5/5 - (1 vote)


simbol bagus

belajar mengaji

cara buat duit

unifi

maxis fiber

simkad tone wow

kupon temu

lazada affiliate

temu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *